Phylum mollusca

Aku ada teori.

Manusia ini sebenarnya sejenis haiwan moluska.

Hidup di dalam cangkerang berwarna,

Supaya dapat sembunyi dari mata kasar semua.
Cangkerang kita tertutup kemas 

agar tiada apa dapat tembus masuk

Menusuk isi lembut dalam cangkerang kita.
Kerana kita ini sebenarnya malu,

Malu dengan isi lembut kita sendiri.

Malu untuk mengaku; ya, inilah aku.

Inilah isi hatiku yang sebenar-benarnya.

Maka, terimalah aku seadanya.

Kita malu.
Lalu, hiduplah kita di dalam cangkerang-cangkerang berwarna,

Mungkin kadang-kala kita buka sedikit ruang dan jenguk keluar 

Untuk lihat cahaya di luar sana,

Tapi masih takut untuk bogelkan saja, 

dedahkan semua isi hati kita

dan berteriak ke dunia;

Ya, inilah aku dan aku tidak malu untuk berkata; 

Aku adalah aku

Dan isi hatiku adalah milikmu.
Tapi teori tetap kekal teori. 

Atau sanggupkah kau buka cangkerangmu itu untuk aku?

Karya,

Nur Adila Ali, Melaka.

Advertisements